Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin 
  •  Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainal Abidin
SHAH ALAM -“ Menggunakan ayat al-Quran untuk hiasan pakaian memang boleh membawa kepada ayat-ayat suci itu diperlekehkan. Ia satu kesalahan,” demikian respon Pensyarah Bahagian Pengajian Islam Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Mohd Asri mengenai penggunaan hiasan ayat suci al-Quran pada corak pakaian.

Asri yang juga merupakan bekas mufti Perlis berkata, namun bukan semua orang tahu ataupun perasan kesan penggunaan tersebut.

“Mereka yang tersalah menggunakan ayat-ayat al-Quran itu mungkin tidak bermaksud menghina tapi tidak tahu adab-adab yang sewajarnya.

“Jangan tergopoh menganggap mereka itu musuh Islam ataupun ingin menghina Islam. Apatah lagi jika dia seorang yang bukan Muslim yang tiada maklumat banyak mengenai Islam,” tulisnya di laman Facebooknya hari ini.


Asri berkata demikian bagi mengulas kes seorang wanita yang memakai pakaian yang bercorakan hiasan ayat al-Quran.

Asri menambah oleh itu, sebelum menghukum mereka ini, perlu diketahui latar tindakan mereka iaitu berbicara dengan matang sebelum bertindak kasar untuk menghukum.

“Dalam hadis yang sahih ada seorang badwi yang kencing dalam masjid Nabi SAW Para sahabat bangun untuk bertindak ke atas badwi tersebut. Nabi SAW melarang mereka mengasarinya sambil bersabda: "Kamu diutuskan untuk memudahkan bukan menyusahkan".

“Nabi SAW menyuruh disimbah air di tempat kencing tersebut. Baginda kemudiannya memanggil badwi itu dan menerangkan kepadanya tujuan masjid dibina. Ini menyebabkan badwi mendoakan kepada baginda agar dirahmati," katanya.

Justeru, kata Asri lagi, dalam hidup ini hendaklah membezakan antara tindakan seseorang yang bertitik tolak dari permusuhan dengan tindakan seseorang yang disebabkan kesilapan ataupun salah faham.

sumber:sinar harian