Harussani Zakaria  
Harussani Zakaria
GOPENG - Terjemahan al-Quran tanpa disertakan dengan ayat asal diharamkan walaupun ia bagi tujuan berdakwah kepada golongan bukan Islam, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria .
Beliau berkata, terjemahan tanpa disertakan ayat asal tidak semestinya tepat disebabkan penterjemahan perlu dilakukan mengikut kaedah bahasa Arab.

"Terjemahan al-Quran perlu mengikut kaedah bahasa Arab, mesti ada ilmu alat, ilmu mantik dan ilmu nahu. Semua ada peraturan tertentu. Kita tidak boleh terjemah tanpa ayat asal kerana ia akan tidak memberi makna dan pemahaman sebenar," katanya pemberita selepas menutup Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan 2014 anjuran Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di sini, hari ini.

Beliau mengulas tentang permintaan seorang pensyarah wanita yang berhasrat menterjemahkan al-Quran kepada bahasa lain tanpa ayat suci yang asal untuk tujuan pemahaman rakannya yang bukan Islam.
Katanya, wanita tersebut telah pergi ke Kementerian Dalam Negeri untuk meminta kelulusan namun Majlis Fatwa mengatakan penterjemahan seperti itu tidak dibenarkan.


"Percetakan juga tidak berani berbuat demikian dan wanita tersebut telah berjumpa Mufti Selangor yang kemudian menyuruhnya berjumpa dengan saya," katanya.

Harussani yang juga Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan sl-Quran berkata kitab suci itu diturunkan dalam bahasa Arab dan penterjemahan ke dalam bahasa lain wajib dilakukan mengikut ayat asal al-Quran.

"Al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab jadi kalau bukan dalam bahasa Arab, ia bukan al-Quran. Kalau buat juga (penterjemahan tidak mengikut ayat asal) ia satu kesalahan besar di negara ini," katanya.
Beliau berkata, penyebaran agama Islam melalui kegiatan dakwah tidak akan tersekat walaupun terjemahan seperti itu tidak dibenarkan. - Bernama
sumber:sinarharian